𝐁𝐄𝐍𝐆𝐊𝐄𝐋 𝐏𝐑𝐎𝐉𝐄𝐊 𝐈𝐍𝐃𝐔𝐒𝐓𝐑𝐈 𝐊𝐎𝐓𝐄𝐉 𝐏𝐄𝐍𝐒𝐈𝐉𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐋𝐀𝐋 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀 𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐉𝐀𝐁𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐓𝐀𝐍𝐈𝐀𝐍 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐑𝐋𝐈𝐒 𝟐𝟎𝟐𝟔
BUKIT KETERI, 12 – 14 Mei 2026 – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melalui Bahagian Pengurusan Halal JAIPs dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perlis telah menganjurkan Bengkel Projek Industri Kotej Pensijilan Halal Malaysia Usahawan Jabatan Pertanian Negeri Perlis bertempat di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Tok Kayaman, Bukit Keteri. Program selama tiga hari ini menghimpunkan beberapa usahawan kecil yang terpilih bagi memperkukuh pengetahuan mereka mengenai keperluan Pensijilan Halal Malaysia dan membimbing peserta melalui proses penyediaan permohonan halal secara lebih tersusun.
Bengkel ini memberi penekanan kepada aspek kefahaman berhubung standard halal, tatacara penyediaan dokumen, penyusunan maklumat produk serta kepentingan pengurusan operasi yang mematuhi garis panduan halal. Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti siri ceramah, sesi penerangan dan latihan praktikal yang disampaikan oleh pegawai Bahagian Pengurusan Halal,JAIPs.
Antara pengisian utama termasuk Pengenalan Pensijilan Halal Malaysia, Pelaksanaan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020, serta penerangan mengenai Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) yang menjadi teras pematuhan operasi di premis makanan. Peserta turut mengikuti sesi bimbingan penyediaan dokumen permohonan, penyediaan maklumat syarikat, senarai produk serta ramuan dalam sistem MYeHALAL secara terperinci bagi memastikan setiap permohonan dihantar dalam keadaan lengkap dan tepat.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua fasilitator serta peserta yang telah memberikan komitmen dan kerjasama sepanjang program berlangsung. Semoga inisiatif ini terus memacu pembangunan industri kotej ke arah kecemerlangan. Gambar Program