PENGUATKUASAAN HALAL BERSAMA KPDN NEGERI PERLIS
KANGAR, 3 Mac 2026 (Selasa) – Satu operasi penguatkuasaan halal telah dilaksanakan pada jam 3.30 petang di sekitar Kangar melalui kerjasama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat peniaga makanan sekitar Kangar telah menggunakan perkataan “Halal” serta memaparkan logo halal pada banner perniagaan tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah. Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Sehubungan itu, tindakan advokasi telah diambil dengan memberi penerangan lanjut kepada peniaga berkaitan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta mengarahkan supaya perkataan dan logo halal berkenaan ditutup serta-merta.
Peniaga terbabit didapati akur dengan arahan yang diberikan dan memberi kerjasama baik sepanjang operasi dijalankan.
Operasi bersepadu ini dilaksanakan sebagai langkah pemantauan berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang pensijilan halal serta melindungi hak dan kepentingan pengguna Islam di Negeri Perlis. Gambar Program