PENANGGUHAN PELAKSANAAN SOLAT JUMAAT, SOLAT BERJEMAAH, SOLAT SUNNAT TARAWIH DAN PROGRAM-PROGRAM PENGIMARAHAN BAGI MASJID DAN SURAU DI NEGERI PERLIS

PENANGGUHAN PELAKSANAAN SOLAT JUMAAT, SOLAT BERJEMAAH, SOLAT SUNNAT TARAWIH DAN PROGRAM-PROGRAM PENGIMARAHAN BAGI MASJID DAN SURAU DI NEGERI PERLIS

Dengan segala hormatnya, warkah DYTM Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan rujukan MAIPs.100 - 6 Jld 7 (81) bertarikh 22 April 2020 adalah berkaitan.

2. Sehubungan dengan itu, adalah dimaklumkan bahawa DYMM Tuanku Raja Perlis telah berkenan untuk menitahkan supaya pelaksanaan Solat Jumaat, Solat Sunnat Tarawih dan Program-program Pengimarahan masjid dan surau di Negeri Perlis ditangguhkan terlebih dahulu sehingga 31 Mei 2020. Namun jika wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal, maka satu titah baharu akan dikeluarkan oleh baginda.

3. Menjunjung Titah Perintah DYMM Tuanku Raja Perlis, berikut adalah langkah-langkah Penangguhan Pelaksanaan Solat Jumaat, Solat Berjemaah, Solat Sunnat Tarawih dan Program-program Pengimarahan bagi Masjid dan Surau di Negeri Perlis:

a) Titah DYTM Tuanku Yang DiPertua MAIPs dalam warkah baginda rujukan MAIPs.100-6 JId 7 (78) bertarikh 16 Mac 2020 hendaklah terus dijunjung dan dilaksanakan.
b) Penggunaan pembesar suara hanya dibolehkan untuk azan dan untuk menyampaikan pengumuman mustahak sahaja.
c) Penyediaan juadah sedekah berbuka puasa oleh Jawatankuasa Kariah dan Pengurusan Surau hendaklah dilaksanakan di premis persendirian dengan mengamalkan penjarakan sosial       dan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta peraturan Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
d) Untuk edaran sedekah juadah berbuka puasa, Jawatankuasa Kariah dan Pengurusan Surau hendaklah melantik individu yang amanah untuk menghantar Sumbangan juadah kepada asnaf / anak kariah bagi taman / kampung di dalam kariah tersebut.
e) Sumbangan yang bersumberkan tabung masjid / surau untuk asnaf dan anak-anak yatim di dalam kariah juga hendaklah diedarkan ke rumah-rumah mereka yang terlibat atau menerusi kaedah pindahan elektronik (bank-in) ke akaun penerima.
f) Pelaksanaan kutipan zakat fitrah oleh amil kariah yang dilantik MAIPs hendaklah dilaksanakan dengan mengekalkan penjarakan sosial, kebersihan tangan, memakai pelindung muka serta mengikut peraturan yang telah dan bakal dikeluarkan oleh pihak MAIPs

4. Di atas kerjasama dan sokongan Tuan diucapkan ribuan terima kasih.

Sekian

“BERKHIDMAT UNTUK AGAMA DAN NEGARA”

“RAJA BERDAULAT, RAKYAT BERILMU,
NEGERI SEJAHTERA, PERLIS MAJU”

Saya yang menjalankan amanah



(DR. HAJI HAZMAN BIN HASSAN)
Pengarah
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)


Kami mempunyai 24 pengunjung dan tiada ahli dalam talian
Anda ingin memberi maklum balas atau menyampaikan aduan? Hubungi kami:

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis
Kompleks Islam, Persiaran Jubli Emas 01000 Kangar, Perlis
(+60) 04 9794400
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan portal ini. Paparan terbaik gunakan Google Chrome atau Mozilla Firefox pada resolusi 1024x768 pixel.
Top