KENYATAAN MEDIA DYTM TUANKU RAJA MUDA PERLIS
Bertitik tolak daripada isu yang timbul di masa kini, berkaitan penangkapan di Perlis beberapa individu warga negara asing yang dikatakan terlibat dengan keganasan, maka atas titah DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, satu Pertemuan Khas dipengerusikan Baginda antara pihak Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) bersama pengurusan institusi terbabit diadakan pada Rabu, 10 Oktober 2018 di Bilik Mesyuarat Galeri DiRaja, Istana Arau, Perlis. YDH. Ketua Polis Perlis turut diundang hadir untuk memberikan pandangan dan nasihat keselamatan.
Untuk maklumat awam, kes ini merupakan sesuatu yang terpencil dalam kalangan ribuan warga negara asing yang berada di Perlis dalam sektor pendidikan dan pekerjaan sejak sekian lama. Adapun institusi yang terbabit, mempunyai sebanyak 119 orang warga asing daripada 19 negara sementara yang terlibat dalam tangkapan adalah sebanyak 6 orang warga asing. Sementara itu sehingga kini, guru, warga asing lain dan 25 pelajar tempatan lain yang berdaftar, tiada sebarang rekod dan laporan penglibatan dalam aktiviti keganasan oleh pihak berkuasa.
Hasil daripada perbincangan tersebut, beberapa keputusan telah diambil seperti berikut:
Pertama : Pengajian di institusi terbabit dihentikan secara serta-merta sehingga satu tarikh yang akan diumumkan oleh YDH Ketua Polis Perlis kelak ;
Kedua : Dalam tempoh penutupan berkenaan, pihak PDRM akan melaksanakan semakan terperinci dan tapisan keselamatan terhadap setiap individu yang terbabit di institusi berkenaan ;
Ketiga : Dalam masa yang sama, pihak Pengurusan Agama di Perlis, menuntut agar Pihak Pengurusan di Institusi berkenaan melaksanakan pengajian dengan pendekatan yang sederhana serta mengambil kira latar setempat. Pendekatan yang lebih harmoni, inklusif dan terbuka hendaklah dijadkan teras dalam proses pengajaran, pembelajaran dan pentadbiran ;
Keempat : Semua Institusi yang melibatkan warganegara asing, khususnya pendidikan dan sektor pekerjaan hendaklah mengambil langkah proaktif bersama pihak-pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tapisan keselamatan ;
Kelima : Masyarakat di Perlis hendaklah sentiasa peka dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sebarang anasir yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 ;
Keenam : Pihak pengurusan institusi berkenaan menafikan keterlibatan dengan apa jua aktiviti keganasan dan akan terus mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani sebarang elemen keganasan ;
Ketujuh : Pihak Pengurusan Agama di Perlis sentiasa konsisten memberikan komitmen untuk bekerjasama dengan pihak PDRM dan agensi berkaitan untuk menjalankan tugasan mereka secara profesional dalam mencegah dan menangani sebarang unsur keganasan.
Dengan kenyataan ini, dititah agar tiada pihak yang mengaitkan Perlis dengan isu keganasan setelah diberikan kepercayaan yang sepenuhnya kepada pihak PDRM untuk melipat gandakan pemantauan keselamatan di Perlis.
Dizahirkan di Galeri DiRaja Istana Arau pada 10 Oktober 2018
Dizahirkan di Galeri DiRaja Istana Arau pada 10 Oktober 2018
“RAJA BERDAULAT, RAKYAT BERILMU,
NEGERI SEJAHTERA, PERLIS MAJU”
NEGERI SEJAHTERA, PERLIS MAJU”
Saya yang menjunjung titah,
(HAJI MOHD NAZIM BIN HAJI MOHD NOOR)
Setiausaha
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.
Setiausaha
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.