Latar Belakang Jabatan

                         Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) adalah badan berasingan daripada kuasa Kerajaan Negeri Perlis yang ditubuhkan selaras dengan peruntukan seksyen 6(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948: “Ketua Agama bagi Negeri ialah Raja dan Raja boleh memerintah supaya dibuat undang-undang untuk tujuan mengatur dan menubuh sebuah majlis yang dinamakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu bagi membantu dan menasihat Baginda di dalam segala perkara yang berkaitan dengan agama Negeri dan adat istiadat Melayu”.

 
               Kuasa MAIPs sebagai sebuah Dewan DiRaja yang membantu Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dalam hal ehwal Agama Islam turut ditegaskan oleh Seksyen 4(1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis Tahun 2006 yang menyebut: “Maka hendaklah ada suatu badan bernama “Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis” untuk membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu”.
               
                  Kuasa-kuasa MAIPs sebagai pembuat dasar hal ehwal Islam digariskan oleh Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis Tahun 2006 yang menyebut: “Majlis hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan dengan Agama Islam di dalam Negeri Perlis, kecuali perkara-perkara Hukum Syarak  dan yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di dalam Negeri Perlis selepas Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini”.
 
                   Adapun Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis(JAIPs) adalah dua jabatan yang merupakan jentera kerajaan negeri dan terletak di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis. Jabatan Mufti Negeri Perlis mempunyai bidang kuasa yang berhubungan dengan perkara-perkara Hukum Syarak seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 45, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis Tahun 2006 yang menegaskan:“Mufti hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja   Pemerintah berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Negeri Perlis selepas Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini”.
 
 
                Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) pula ditubuhkan sebagai jentera Kerajaan Negeri Perlis yang berfungsi membantu melaksanakan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh MAIPs dengan lebih fokus dan berkesan. Dalam Hukum Syarak, JAIPs adalah terikat dan perlu melaksanakan fatwa dan irsyad Jabatan Mufti Negeri Perlis. Oleh itu, JAIPs sebagai pelaksana dasar sentiasa menjalankan fungsi-fungsi yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dan MAIPs sebagai pemutus dasar dari semasa ke semasa. Fungsi dan peranan JAIPs adalah berpandukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948, enakmen-enakmen dan fatwa yang ditetapkan oleh MAIPs yang kini diterajui oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis. Ekoran daripada penstrukturan semula MAIPs oleh Unit Permodenan Tadbiran Malaysia (MAMPU), pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam diletakkan dibawah jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis mulai tahun 1988.
 
JAIPs terdiri daripada tujuh bahagian yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal Islam bagi Negeri Perlis. Bahagian-bahagian tersebut adalah :
 
  1. Bahagian Khidmat Pengurusan
  2. Bahagian Dakwah dan Pengurusan Masjid
  3. Bahagian Pendidikan
  4. Bahagian Pentadbiran Undang-undang Syariah
  5. Bahagian Penguatkuasaan
  6. Bahagian Pendakwaan
  7. Bahagian Penyelidikan dan Hub Halal
  8. Bahagian Takmir
 
Sebagai sebuah agensi agama Islam yang terpenting di Negeri Perlis, JAIPs sentiasa berperanan sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab mengukuhkan pemahaman manhaj Ahlul al-Sunnah wal-Jamaah seperti yang termaktub di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 kepada seluruh umat Islam di Negeri Perlis melalui aktiviti dan program yang dirancang oleh JAIPs.

Bancian Laman Web

Bagaimana anda menilai Laman Web kami?

Hubungi Kami

Anda ingin memberi maklum balas atau menyampaikan aduan? Hubungi kami.

  • Kompleks Islam, Persiaran Jubli Emas 01000 Kangar, Perlis
  • (+60) 04 9794400
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Hak Cipta| Peta Laman | Soalan Lazim
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan portal ini. Paparan terbaik gunakan Google Chrome atau Mozilla Firefox pada resolusi 1024x768 pixel.
Top